- Back to Home »
- Dengan Kualiti Jiwa Bukan Kuantiti Harta
Posted by : Unknown
Tuesday, 5 March 2013
Redha Allah terletak pada redha ibu-bapa.
Semua orang pernah mendengar ungkapan ini. Namun, berapa kerat yang memahami tuntutannya?
Dan berpada kerat pula yang telah menunaikan tuntutannya? Ibu-bapa yang telah tua memang menguji anak-anak. Maklumlah, akalnya sudah lemah, pertimbangannya jadi singkat. Kerenah orang tua sangat menguji anak-anak.
Berapa ramai yang menganggap ibu-bapa yang telah tua sebagai satu
liabiliti dalam kehidupan kita. Pada hal mereka sebenarnya adalah satu
aset yang sangat berharga dalam kehidupan kita. Menjaga ibu-bapa yang
telah tua, bersabar dalam menghadapi kerenahnya sesungguhnya akan
membuka pintu kerahmatan dan keberkatan daripada Allah swt.
Ingatkah lagi kita tentang satu hadis panjang yang menceritakan
kepada kita bagaimana tiga orang lelaki terperangkap dalam sebuah gua?
Masing-masing memohon pertolongan daripada Allah melalui perantaraan
(tawassul) amalan mereka. Salah seorang lelaki tersebut telah memohon
kepada Allah melalui perantaraan amalannya yang berbakti kepada orang
tua… dan pintu gua itu tergeser, petanda bantuan Allah tiba kerana
amalannya terhadap orang tua.
Mengapa tidak kini kita gunakan kaedah yang sama?
Bukankah banyak
permasalahan dan beban hidup yang berat sedang atau akan kita tanggung?
Salah satu kaedah untuk mengatasi dan menangani masalah tersebut ialah
dengan berbakti kepada orang tua dan menjadikan kebaktian tersebut
sebagai perantaraan berdoa kepada Allah.
Dengan syarat kita berbuat
demikian dengan hati yang ikhlas.
Berapa ramai penulis yang “terbantut” idea dan mindanya, lalu dia
mengangkat tangan berdoa kepada Allah melalui perantaraan ketaatannya
kepada ibu-bapanya?
Atau ahli perniagaan yang dilanda masalah hutang
atau merudumnya jualan, lalu istirahat seketika lantas berdoa meminta
bantuan Allah melalui budi-baiknya terhadap ibu-bapa?
Atau ahli politik
yang diserang kiri dan kanan oleh musuh politiknya, mengambil sedikit
masa untuk bermunajat kepada Allah melalui amalan baik terhadap kedua
ibu-bapanya?
Ingatlah, ibu-bapa yang tua itu adalah satu aset. Kesusahan, kejemuan
dan kebimbangan kita sewaktu menjaga mereka sebenarnya adalah mahar
kepada sebuah ketenangan, keberkatan dan kejayaan dalam kehidupan. Namun
sebaliknya, jika mengabaikan mereka itulah yang akan membuka kepada
pintu kehancuran, keresahan dan kegagalan. Benar seperti yang pernah
didendangkan oleh lagu lama, “ayah dan ibu wali-wali keramat.”
Ibu-bapa memang “wali keramat” kerana meminggirkan mereka (apatah
lagi kalau sampai ke tahap menderhakai mereka) akan menyebabkan hidup
kita terhijab (terhalang). Bukan sahaja kita orang awam ini, bahkan
orang-orang Soleh sekalipun jika tersalah laku dengan ibu-bapa akan
menerima padahnya.
Lupakah kita kepada Juraij, seorang yang amat soleh
(rajin uzlah dan beribadah) tetapi tertimpa malapetaka fitnah kerana
tidak disenangi oleh ibunya.Gara-gara begitu asyik dengan solat sunat, Juraij tidak menyahut
panggilan ibunya. Ibunya sungguh terasa hati menyebabkan dia berdoa agar
Juraij ditimpa fitnah. Benar, tidak lama kemudian Juraij difitnah
berzina dengan perempuan jahat menyebabkan dia dihina dan disakiti oleh
penduduk-penduduk setempat. Itulah bahananya mengecilkan hati ibu.
Justeru, dari segi hukumnya, ajaran Islam menetapkan seseorang yang
sedang bersembahyang sunat wajib menyahut panggilan ibunya setelah tiga
kali panggilan itu diulang.
Kenapa?
Padahal solat itu hubungan dengan
Allah, sedangkan menyahut panggilan ibu bapa itu hubungan sesama
manusia? Apakah hak manusia lebih besar daripada hak Allah?
Tidak, bukan begitu.
Sebenarnya itu didikan daripada Allah jua, agar
seorang anak menjaga hubungan dengan ibu-bapanya semasa berhubung dengan
Allah. Taat kepada Allah dan berbuat baik kepada kedua ibu-bapa ada
kalanya dirangkaikan dalam ayat-ayat tertentu dalam Al Quran.
Ya, jangan
sampai mengejar cinta Allah, dengan mengabaikan cinta terhadap
ibu-bapa. Yang setepatnya ialah cintailah ibu-bapa kerana mencari cinta
Allah!
Bayangkan jika manusia sesoleh Juraij pun boleh ditimpa kesusahan
kerana kesalahan yang boleh dikatakan kecil (berbanding kederhakaan
anak-anak zaman ini) terhadap ibunya, apalagi kita. Kebaikan kita
tidaklah setinggi dan sebanyak Juraij, sebaliknya kesalahan kita
terhadap ibu-bapa kita lebih banyak daripadanya… Bila-bila sahaja kita
boleh ditimpa malapetaka akibat kederhakaan ini. Dan mungkin kita tidak
sedar, malapetaka itu telah pun menimpa kita.
Intai-intai dan telitilah kembali jalan hidup yang telah, sedang dan
akan kita susuri ini. Berapa banyak halangan dan hambatan yang datang
melanda. Berapa banyak kali kita kecundang? Apa yang dirancang kekadang
sering tidak “menjadi”. Malang dan bencana datang timpa menimpa. Dicari
sebabnya, dikaji puncanya, seakan-akan tidak terjumpa… mana tahu
semuanya bahana derhaka kepada kedua ibu-bapa.
Dosa kita pada yang lain masih adalah istilah nanti dan tunggu.
Tetapi dosa kepada ibu-bapa akan dibalas segera dan tiba-tiba.
Sesetengah orang, hanya kerana dia telah menghulurkan bantuan ratusan
malah ribuan ringgit sebulan kepada ibu-bapanya, dia telah menunaikan
tanggungjawab… Jadi apabila ibu-bapanya “bersuara” sedikit, sudah berani
dia membentak. Apa yang tidak cukup lagi? Apa lagi yang ibu hendak?
Apa
lagi yang bapa tidak puas hati?
Ingatlah, wang ringgit dan harta benda tidak akan mampu membalas jasa
atau menebus bakti kedua orang tua kita. Bukan semua perkara dalam
kehidupan ini boleh dibeli.
Banyak perkara-perkara penting dalam hidup
ini tidak boleh dinilai oleh kuantiti material dan fizikal yang kita
ada. Antaranya, jasa dan bakti kedua ibu-bapa. Ia hanya boleh “dibayar”
oleh kualiti jiwa bukan kuantiti harta.
Maksudnya, budi hanya dapat dibayar oleh budi.
Jasa dengan jasa.
Budi
baik dan akhlak kita yang cantik sahaja dapat menyenangkan hati orang
tua pada usia senja mereka. Layani mereka dengan baik, dengarlah cerita
mereka (walaupun telah diulang berkali-kali), duduk berbual dengan
mereka, membelai atau mengurut badan mereka dan yang paling penting
sering menziarahi dan sentiasa berdoa untuk mereka.
Jangan lupa, satu hari kita juga akan melalui apa yang sedang lalui
kini.
Kita akan mencecah gerbang tua dan mengecap sisa-sisa umur dengan
payah dan lelah seperti mereka… bagaimana kita saat itu? Tentukanlah
nasib kita itu pada hari ini. Bagaimana? Taat, layan dan belai dengan
penuh kasih sayang orang tua kita pada hari ini, insya-Allah anak-anak
kita akan mengamalkan sikap yang sama terhadap kita pada akhir nanti.
Cerita dan nasihat ini bukan pertama kali kita dengar… tetapi
semuanya diulang lagi kerana kita sering mengabaikan apa yang sering
kita dengar.
Kita sering menjadi umpama kelekatu yang melanggar lampu
yang bercahaya sedangkan di bawahnya sudah begitu banyak kelekatu lain
yang terkorban.
Berapa banyak ikon anak derhaka dalam cerita rakyat
seperti Sitanggang mahupun Malim Kundang yang kita benci dan caci,
ironinya kita menjejak mereka tanpa kita sedari.
Sudah dianggap derhaka dengan mendecit perkataan “ah” kepada kedua
ibu-bapa. Sudah dianggap melupakan mereka jika kita tidak mendoakan
mereka selepas setiap kali mengerjakan solat.
Sudah mengecilkan hati
mereka jika sudah lama kita tidak menelefon ataupun menziarahi mereka di
kampung… Oh, terlalu banyak kesalahan kita terhadap mereka. Dan apakah
ini telah menyebabkan tertutupnya pintu kerahmatan dan keberkatan?
Rezeki banyak, tetapi tidak puas. Umur panjang, tetapi dipenuhi dosa.
Masa lapang, tetapi hilang manfaat. Kesibukan yang memanjang, keresahan
yang tidak berpenghujung mungkin sedang berlaku dalam hidup kita.
Anak-anak degil. Isteri atau suami semakin degil dan tidak serasi…
Apakah ini semua kerana dosa kita terhadap orang tua?
Apakah Allah
sedang murkakan kita?
Jika anda bertanya begitu, sila ulang baca ayat pertama pada awal tulisan ini!
-Pahrol Mohamad Juoi